Dengan harga petrol dan diesel yang naik masa ini, kos untuk pandu kenderaan kian meningkat. Walaupun EV masih belum mendominasi jalan raya Malaysia, perlu diketahui yang jalan kehadapan adalah kenderaan elektrik. Di Malaysia, ada tiga kategori kenderaan elektrik yang boleh didapatkan dalam pasaran iaitu Hibrid, Plug-in Hibrid (PHEV), dan elektrik sepenuhnya (EV).
Buat pengguna Malaysia yang berkira-kira untuk mencuba mana-mana kenderaan ini, senarai dibawah mengandungi pilihan kenderaan pada harga paling mampu milik mengikut kategori. Artikel ini mengandungi senarai kereta hibrid paling mampu milik di Malaysia yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kompak, bersaiz sederhana, dan juga yang ada 7 tempat duduk.
- 9 EV paling mampu milik di Malaysia (2026)
- 9 kereta hibrid paling mampu milik di Malaysia (2026)
- 6 kereta PHEV paling mampu milik di Malaysia (2026)
Apa itu Kereta Hibrid (HEV)
Electric hybrid vehicle (HEV) tidak mempunyai fungsi untuk cas baterinya gunakan sumber luar. Tenaga elektriknya dijana sendiri menerusi motor elektrik yang bekerja secara songsang. Hibrid dilihat ramai sebagai titik masuk paling mudah kepada yang nak berhijrah daripada dunia enjin pembakaran dalaman tanpa perlu mengubah tabiat pemanduan.
Hibrid Saiz Kompak
Chery Tiggo Cross Hybrid (2025)
Bermula RM99,800.

Ini adalah hibrid paling mampu milik di Malaysia. Ia dilancarkan dalam bulan Julai 2025 dalam kategori SUV segmen B pemasangan tempatan. Menarinya, harganya lebih murah daripada Honda City e:HEV RS walaupun saiznya lebih besar yang jadikannya lebih praktikal. Chery Tiggo Cross Hybrid diperkasa enjin 1.5L dengan sepasang motor elektrik dan sistem ini hasilkan sejumlah 204PS dan 310Nm. Kadar penggunaan bahan apinya diiklankan pada 18.5km/L.
Toyota Vios Hybrid (2026)
Bermula RM103,900

Di Toyota, mereka ada sedan hibrid paling mampu milik di Malaysia iaitu Toyota Vios Hibrid. Ia dilancarkan dalam bulan Januari 2026 dalam segmen B. Perkara menarik tentang Vios ini adalah penjimatan bahan apinya. Ia boleh pergi sejauh 27.8km bagi setiap liter petrol yang bolehkannya bersaing dalam gelanggang kereta paling jimat minyak Malaysia setakat ini, setara dengan Honda City 1.5 RS e:HEV. Vios Hibrid diperkasa enjin 1.5L dan motor elektrik yang keluarkan sejumlah 111PS kuasa. Kalau nak rasa lebih sporty, varian GR Sport ada yang berikan sistem pengampai yang lebih baik, roda lebih besar, dan kemasan GR premium.
Honda City 1.5 RS e:HEV (2023)
Bermula RM111,900

Ini adalah sedan hibrid kompak pertama di Malaysia. Dengan gabungan enjin petrol dan motor elektrik, ia berikan daya tujah yang jauh lebih kuat daripada pesaing dalam segmen yang sama sewaktu dialncarkan. Tapi itulah, harga Honda City 1.5 RS e:HEV yang agak tinggi jadikan ia tidak terjangkau oleh pengguna biasa. Walau bagaimanpun, penjimatan bahan api yang dibawakannya sangat menakjubkan. Pada 27.8km/L, satu tangki penuh boleh bawa kenderaan ini lebih daripada 1,000km!
Hibrid Saiz Sederhana
GWM Haval H6 Ultra HEV (2025)
Bermula RM139,800

Dalam kategori hibrid bersaiz medium, GWM Haval H6 Ultra HEV adalah model yang paling mampu milik. Saiz kabinnya yang lapang jadikannya sesuai untuk pemanduan jauh seperti balik kampung sewaktu Hari Raya. Di bawah bonetnya ada enjin 1.5L turbo yang dipadankan dengan motor elektrik yang hasilkan sehingga 234PS dan 530Nm tork. Daya tujah setinggi itu memang memudahkan untuk memotong kenderaan lain khususnya dalam ruang terhad. Walaupun berkuasa, kadar penggunaan bahan apinya agak baik, pada 17.2km/L.
Toyota Corolla Cross 1.8 HEV (2025)
Bermula RM140,800

Toyota dan sistem hibrid memang ada sejarah yang panjang. Toyota adalah jenama pertama hasilkan kereta hibrid untuk pasaran massa. Sistem yang diperkenalkan pada Prius 1997 telah ditambah baik dan diguna pakai pada Corolla Cross 1.8 HEV untuk berikan kecekapan penggunaan bahan api pada 23.3km/L, antara tertinggi dalam SUV bersaiz sedang.
Honda HR-V RS e:HEV (2025)
Bermula RM143,900

Kalau Honda City hibrid terlalu kecil, versi SUV hibrid juga ada dalam bentuk Honda HR-V e:HEV. Ia datang dengan ruang kabin lebih lapang untuk pemanduan jarak jauh. Sungguhpun besar, penggunaan petrolnya memang jimat, lebih jimat berbanding Corolla Cross iaitu pada 25.6km/L. Ia tidak mengejutkan kerana HR-V RS e:HEV diberikan enjin 1.5L yang hasilkan kuasa berjumlah 238PS dan tork lebih 253Nm.
Hibrid 7 Tempat Duduk
Nissan Serena e-POWER X (2026)
Bermula RM154,800

Slot kereta MPV hibrid 7 tempat duduk paling mampu milik di Malaysia diduduki oleh Nissan Serena e-POWER X (2026). Pendekatan hibrid Nissan agak berbeza daripada Honda dan Toyota. Hal ini kerana, enjin petrol dalam kenderaan itu tak terlibat secara langsung untuk golekkan tayar sebaliknya 100% menjana tenaga elektrik. Nissan katakan sistem pemanduan mereka mampu kurangkan kadar pening dalam perjalanan dan untuk keselesaan, penumpang belakang boleh layan video di skrin tergantung 14”.
Toyota Innova Zenix 2.0 HEV (2025)
Bermula RM202,000

MPV hibrid Toyota ini ditambah kuasa dengan pengenalan sistem hibrid Toyota generasi ke-5 untuk lonjakkan daya tujah kepada 208Nm berbanding 183Nm untuk versi bukan hibrid. Kemampuan ini penting untuk ia berfungsi sebagai kereta keluarga yang cemerlang. Toyota Innova Zenix 2.0 HEV adalah model pertama Toyota yang ada Toyota Safety Sense 3.0.
Hyundai Santa Fe 1.6T Hybrid Prime (2025)
Bermula RM225,000

Hibrid 7 tempat duduk paling mampu milik ketiga ini tak hadir dalam bentuk MPV sebaliknya sebuah SUV daripada Hyundai. Modelnya adalah Santa Fe 1.6T Hybrid Prime. Walaupun ia paling mampu milik dalam penawaran Santa Fe, anda masih nikmati kuasa penuh hibrid 235PS dan 367Nm. Kesemua penumpang dilindungi 10 beg udara dan pemanduan dibantu oleh Hyundai SmartSense yang ada ciri-ciri bantu pandu aktif seperti Adaptive Cruise Control.

