Dengan ketibaan EV seperti e.MAS 5 yang ditawarkan pada harga bermula kurang daripada RM60,000 dan hampir menyamai harga sebuah kereta petrol kompak seperti Perodua Myvi, pastinya ramai yang mula berkira-kira untuk memiliki sebuah EV. Selain daripada mengenal kereta EV yang bakal anda miliki, apa kata luangkan masa untuk kenali pengecas yang akan mengisi bateri kereta anda.
Tahukah anda yang pengecas EV adalah berbeza antara satu sama lain? Ia tak seperti nozel minyak yang mengeluarkan petrol tanpa perlu anda fahami bagaimana tatakerjanya.
Beza pengecas AC dan DC
Dalam dunia EV, ada dua jenis pengecas iaitu Alternate Current (AC) dan Direct Current (DC). Anda temuinya di seluruh Malaysia tapi cara kerjanya berbeza dengan objektif yang sama, untuk isi semula bateri EV.
Pengecas AC membekalkan arus ulang alik kepada kenderaan. Disebabkan bateri EV menyimpan tenaga dalam bentuk arus terus, komponen pengubah di dalam kereta akan mengubah arus AC kepada DC. Disebabkan faktor kos dan keselamatan, komponen pengubah ini beroperasi dalam julan antara 3.3kW dan 22kW.
Sumber: Unsplash
Sebab itulah kebanyakan pengecas AC bersaiz kecil dan mudah dipasang di rumah. Proses mengecas yang perlahan menyebabkannya ia praktikal bila kereta diparkir untuk satu tempoh yang lama, contohnya semalaman.
Di satu lagi sudut, pengecas DC mampu mengubah arus AC terus di dalam pengecas tanpa perlu gunakan komponen di dalam kereta. Jadi, ia mampu hantar arus terus langsung kepada bateri kereta. Ia membolehkan operasi pada kuasa lebih tinggi, sehingga 350kW, bergantung kepada model pengecas dan kemampuan kenderaan untuk menerimanya.
Sumber: ChargeSini
Maka dengan sebab itu, pengecas DC banyak dipasang di sepanjang lebuh raya dan stesen pengecas awam supaya pengguna EV boleh isi semula bateri ke 80% dalam masa kurang daripada 40 minit.
Kerajaan sasar 10,000 pengecas EV sebelum akhir 2025
Seperti dilapor Bernama, kerajaan Malaysia telah mensasarkan angka 10,000 untuk bilangan pengecas EV yang aktif sebelum 2025 berakhir. Kenyataan itu dikongsikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam bulan Mei 2025 lalu.
Sumber: MyZEVA
Setakat artikel ini ditulis, pengkalan data Suruhanjaya Tenaga (ST) menunjukkan yang sebanyak 4,164 unit pengecas pelbagai jenis telah dilesenkan. Ia diterjemah kepada hampir 42% daripada sasaran sebelum tetingkat waktu tamat. Dengan waktu yang berbaki 51 hari sebelum tahun baru, purata pengaktifan harian pengecas EV untuk penuhi sasaran adalah pada kadar 115 pengaktifan sehari.
Sementara menunggu pengecas baharu dipasang, mereka di Malaysia Zero Emission Vehicle Association telah mengekstrak maklumat daripada pengkalan data ST dan menyenaraikan 10 teratas operator pengecas EV di Malaysia setakat Februari 2025.
1. ChargeSini
Sumber: ChargeSini
ChargeSini beroperasi secara rasmi dalam bulan September 2022. Mereka mulakan operasi sebagai pembekal kelengkapan pengecas EV secara B2B. Kemudian, mereka mula mengendalikan pengecas mereka sendiri dan berkembang menjadi rangkaian pengecas terbesar Malaysia setakat ini.
Stesen pengecas terbesar ChargeSini terletak di TheCurve, Mutiara Damansara. Stesen itu mampu mengecas sehingga 8 EV serentak dengan output maksimum 47kW.
Layari laman rasmi ChargeSini untuk maklumat lanjut.
2. JomCharge
Sumber: EVC
EV Connection adalah pengendali stesen JomCharge. Mereka adalah antara pelopor kepada perkhidmatan pengecas EV di Malaysia dan banyak catatkan rekod bersejarah. Seawal 2016, mereka sudahpun miliki 5 pengecas jenis DC di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan.
Pengecas terbesar mereka di X Park Sunway Serene adalah pengecas 350kW pertama di Asia Tenggara dan yang pertama menggunakan model pembayaran berasaskan kWh untuk gantikan pembayaran berasaskan tempoh mengecas.
Layari laman rasmi JomCharge untuk maklumat lanjut.
3. Gentari
Sumber: Gentari
Gentari adalah subsidiari kepada Petronas. Ia dirasmikan dalam tahun 2022 untuk mengendalikan serba serbi hal berkaitan tenaga boleh baharu, tenaga hidrogen, dan pengangkutan hijau. Pengecas terbesar mereka yang letaknya di Bangi Golf Resort adalah yang pertama menggunakan teknologi Dynamic Power Sharing.
Layari laman rasmi Gentari untuk maklumat lanjut.
4. Shell Recharge
Sumber: Shell
Ini adalah satu lagi operator pengecas EV subsidiari kepada syarikat minyak. Shell Recharge telah buka stesen pengecas pertama mereka di pusat beli belah Sunway Pyramid dalam bulan Jun 2019. Kemudian, dalam tahun 2021, mereka mengaktifkan rangkaian pengecas berkuasa tinggi di 6 stesen Shell sepanjang Lebuhraya Utara Selatan dengan output sehingga 180kW iaitu tertinggi di Malaysia pada ketika itu.
Layari laman rasmi Shell Recharge untuk maklumat lanjut.
5. ChargEV
Sumber: ChargEV
ChargEV juga seperti EV Connection. Mereka antara perintis industri pengecas EV di Malaysia. Unit pengecas pertama mereka dipasang di Petronas Serdang dengan output 22kW. Kemudahan itu kini dah dinaik taraf untuk menampung 3 EV serentak dengan output sehingga 200kW.
ChargEV kini sedang membangunkan stesen pengecas EV alaf baru yang menyatupadukan perkhidmatan mengecas dengan kemudahan tambahan seperti R&R. Kemudahan yang diberi nama Terra ChargeEV itu sedang dibangunkan di R&R Seremban dengan kerjasama PLUS.
Layari laman rasmi ChargEV untuk maklumat lanjut.
6. Tesla
Sumber: Fuzz.my
Ya, Tesla juga kendalikan stesen pengecas mereka sendiri. Sebenarnya Tesla telah beroleh laluan khas yang diberikan kerajaan Malaysia untuk mengimport kereta mereka ke Malaysia tanpa perlukan AP dengan beberapa syarat. Salah satunya, mereka wajib untuk buka sekurang-kurangnya 30% rangkaian pengecas SuperCharger mereka kepada EV bukan tesla.
Walau bagaimanapun, sehingga hari ini syarat itu masih lagi belum dipenuhi dan setakat ini tiada sebarang pelanjutan tempoh akhir diumumkan. Makanya, syarat itu perlu dipenuhi sebelum 2025 tamat.
Layari laman rasmi Tesla untuk maklumat lanjut.
7. Mercedes-Benz
Sumber: Mercedes-Benz Malaysia
Ini adalah satu lagi pengeluar kereta yang juga ada rangkaian pengecas EV. Untuk kes Mercedes-Benz pula, kebanyakkan pengecas mereka letaknya di pusat-pusat pameran kereta dan hanya dikhaskan kepada pengguna kereta berjenama itu sahaja.
Namun, mereka perlahan-lahan membuka pusat pengecas awam di lokasi-lokasi premium. Mercedes-Benz Malaysia bekerjasama dengan pusat peranginan seperti Shangri-La Rasa Sayang Pulau Pinang, Saujana Golf & Country Club Shah Alam, dan Anantara Desaru Coast Resort & Villas, Johor dalam membangunkan stesen pengecas EV.
Layari laman rasmi Mercedes-Benz untuk maklumat lanjut.
8. Charge n Go
Sumber: Time Charge N Go
Charge n Go adalah operator pengecas EV, subsidiari kepada TIME dotCom, penyedia perkhidmatan Internet popular Malaysia. Operator ini fokus kepada pemasangan pengecas AC di rumah-rumah jenis highrise seperti kondomunium dan apartment, sama seperti pendekatan penawaran Internet mereka.
Layari laman rasmi Charge n Go untuk maklumat lanjut.
9. DC Handal
Sumber: DC Handal
DC Handal mulakan operasi stesen pengecas pertama mereka dalam bulan September 2023. Lokasi pertama mereka adalah di Bamboo Hills. Menariknya CPO ini, mereka focus pada penawaran pengecas DC sahaja jika anda lihat pada bilangan pengecas DC mereka yang jauh lebih banyak daripada pengecas AC.
Layari laman rasmi DC Handal untuk maklumat lanjut.
10. Kineta
Sumber: Kineta
Operator kesepuluh dalam senarai teratas penyedia perkhidmatan pengecas EV adalah Kineta. Ia adalah anak syarikat kepada Sime Darby yang ditubuhkan dalam bulan Februari 2023. Mereka kendalikan hampir 90 pengecas di seluruh Malaysia dan mereka turut tawarkan pemasangan pengecas EV untuk pihak ketiga.
Layari laman rasmi Kineta untuk maklumat lanjut.
Yang sering dilupa. EV masih guna bateri 12V
Untuk maklumat anda, sistem bateri EV terbahagi kepada dua. Sistem bateri yang bekalkan tenaga untuk gerakkan motor elektrik digolongkan dalam sistem berkuasa tinggi. Biasanya pengeluar gunakan sistem 400V dan kini 800V mula popular.
Walau bagaimanpun, sistem bateri 12V untuk menyalakan kelengkapan asas EV masih digunakan. Ia sama dengan kereta petrol masa ini. System 12V ini akan gerakkan kipas penyejuk, sistem inforia, sensor-sensor keselamatan, dan sebagainya. Makanya, tak kira sama ada anda pandu EV ataupun kereta petrol, bila tiba masanya, bateri 12V perlu digantikan.
Kalau anda perlukan servis penukaran bateri, terus saja layari laman Bateriku. Dengan sistem pengkalan data yang komprehensif, jenis kereta anda boleh diketahui dan jenis bateri yang bersesuaian terus boleh disarankan kepada anda.

