Biodiesel B15 sudahpun mula dijual di stesen-stesen minyak Semenanjung Malaysia mulai 1 Jun 2026. Sungguhpun pengguna kebanyakan tak rasa sebarang perubahan dalam masa terdekat, ia dikatakan sebagai satu langkah penting yang kerajaan ambil untuk jamin sektor tenaga negara, perkukuh industri minyak sawit dan kurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Jadi, apa sebenarnya diesel B15 dan perlukah pengguna kenderaan diesel beri perhatian lanjut?
Apa itu biodiesel B15?
Diesel B15 merujuk kepada campuran diesel yang mengandungi 15% bahan berasaskan minyak sawit iaitu Palm Methul Ester (PME). Sebelum ini, biodiesel sudahpun dijual di Malaysia dengan campuran maksimum 10%. Untuk pengguna, peralihan ini tidaklah beri impak signifikan kerana kenderaan mereka mampu untuk bakar biodiesel untuk jana kuasa menggerakkan kenderaan.

Kenapa Malaysia guna B15?
Langkah kerajaan memperkenalkan diesel B15 untuk penuhi beberapa objektif.
Paling utama adalah untuk kurangkan kebergantungan kepada diesel import dengan cara meningkatkan bahan hasilan tempatan, malah boleh diperbaharui. Kaedah ini akan memperkukuh keterjaminan tenaga dan jadikan Malaysia lebih rintang terhadap sebarang gangguan pembekalan global.
Onjektif kedua yang ingin dicapai adalah untuk jana pertumbuhan industri minyak sawit negara. Diunjurkan yang penghasilan biodiesel akan meningkat daripada 534,000 tan sewaktu program B10 kepada 801,000 tan untuk program B15 kali ini. Bila permintaan terhadap komoditi sawit naik, sektor pertanian juga akan mendapat manfaat.
Selain itu, biodiesel dilihat sebagai alternatif rendah karbon kepada diesel konvesional dan selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Adakah B15 beri kesan sampingan ke atas kenderaan?
Ini tentu sekali jadi tanda tanya kepada pemilik kenderaan.
Menurut kerajaan, kebanyakan kenderaan diesel moden sedia menyokong diesel B15. Malah, kerajaan sedang menguji B20 di beberapa lokasi terpilih di Langkawai, Labuan, dan Sarawak tanpa sebarang isu besar pada kenderaan. Majoriti pengeluar kenderaan diesel memaklumkan yang produk mereka mampu sokong antara B10 dan B20.
Apakah kesan B15 terhadap penjimatan minyak & prestasi?
Disebabkan ketumpatan tenaga dalam biodiesel lebih rendah daripada diesel tulen, pengguna bimbang yang kadar penggunaan minyak akan meningkat dan kos operasi juga meningkat. Walau bagaimanapun, kajian di lapangan mendapati yang perubahan prestasi adalah sangat kecil.
Antara data yang dikongsikan adalah peningkatan penggunaan minyak sebanyak sehingga 2% dan pengurangan prestasi sebanyak kira-kira 1%. Perubahan ini tidak menjejaskan manfaat yang lebih besar dibawakan seperti pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 6% serta lain-lain manfaat sejagat yang dikongsikan di awal artikel ini.

