Acara WiraDay 6.0 kembali dengan lebih meriah dan penuh semangat, menghimpunkan komuniti pemilik serta peminat tegar Proton Wira dari seluruh Malaysia.
Berlangsung pada 17 dan 18 Oktober di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu, edisi keenam ini menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan autoshow, aksi sukan permotoran, dan sesi santai bersama komuniti.
Namun, WiraDay bukan sekadar perhimpunan peminat kereta. Ia menjadi lambang kebanggaan terhadap warisan automotif tempatan, meraikan keunggulan Proton Wira yang masih kukuh dan relevan di jalan raya hingga ke hari ini.
WiraDay 6.0: Arena Wira Sejati
Selain menjadi titik pertemuan buat peminat setia Proton Wira, WiraDay 6.0 di Litar Gong Badak turut menampilkan gabungan aktiviti berunsur automotif, kekeluargaan dan komuniti yang menjadikannya acara untuk semua lapisan umur
- Antara Aktiviti Utama:
- Autoshow Kereta Proton Wira
- Sukaneka untuk Kanak-kanak dan Dewasa
- Pertunjukan Drift
(Sumber: MotorManiac)
Menariknya, acara ini turut diserikan dengan ceramah khas oleh Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Kamaruzaman Al-Basungi, yang menyuntik elemen rohani serta pengisian bermanfaat kepada pengunjung.
Perpaduan antara hiburan, ilmu dan semangat komuniti inilah yang menjadikan WiraDay 6.0 lebih daripada sekadar acara automotif ia adalah perayaan semangat Wira yang sejati
Lebih Aktiviti, Lebih Gah
Bagi peminat modifikasi dan dunia automotif, WiraDay 6.0 tampil lebih besar dengan pelbagai pertandingan eksklusif yang menjadi tumpuan utama sepanjang acara.
Antara kategori yang dipertandingkan termasuk:
Proton Standard, Engine Bay, Single Cam, Twin Cam, GSR dan Evo setiap satu dinilai berdasarkan kemasan enjin, tahap kreativiti dan keaslian modifikasi.
Turut mencuri perhatian ialah kategori Proton MDM/JDM, yang mengetengahkan gaya modifikasi berinspirasikan budaya Jepun dan Malaysia dengan sentuhan unik tersendiri.
Kategori lain seperti Open Modified dan Open Best Colour pula menjadi pentas peserta menonjolkan kreativiti luaran, manakala kategori Bolt-On Turbo, Best Carbon, Best Titanium dan Best Sportrim menilai aspek teknikal serta ketelitian kerja tangan pemilik.
Menariknya, penyertaan Ladies Car,Best Interior dan Best Jajan membuktikan bahawa minat terhadap dunia automotif bukan hanya milik lelaki, tetapi turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
(Sumber: MotorManiac)
Kepelbagaian ini bukan sahaja memperlihatkan bakat modifikasi tempatan, malah menzahirkan semangat “Wira tidak pernah mati” yang terus membara dalam komuniti.
Dari Parkir Kereta ke Litar Permotoran
Bermula sebagai perhimpunan kecil di lot parkir kereta, WiraDay kini berkembang menjadi antara acara automotif terbesar dan paling dinanti di Malaysia.
Daripada sekadar perjumpaan komuniti pemilik Proton Wira, kini ia berubah menjadi festival automotif penuh semangat yang berjaya menarik ribuan pengunjung dari seluruh negara.
Perjalanan dari parkir hotel ke Litar Permotoran Gong Badak ini membuktikan kejayaan luar biasa penganjur serta sokongan padu komuniti automotif tempatan.
Ia menjadi simbol kesetiaan, kecintaan dan kebanggaan terhadap Proton Wira yang telah mewarnai sejarah automotif negara lebih dua dekad.
Hadiah Hebat, Skala Penganjuran Luar Biasa
Tahun ini, WiraDay 6.0 tampil dengan skala yang jauh lebih besar dan tawaran hadiah yang luar biasa.
Antara cabutan bertuah utama yang menjadi sebutan ramai ialah:
- Sebuah Mitsubishi Evo 6 TME
- Sebuah Proton Wira
- Dua pakej Umrah untuk peserta bertuah
Penganjuran berskala besar dengan ganjaran bernilai tinggi ini membuktikan bahawa WiraDay bukan lagi sekadar acara kereta, tetapi sebuah platform yang menyatukan peminat, keluarga dan masyarakat dalam satu nilai yang sama.
Astra dan Motor Maniac Serikan WiraDay 6.0 di Litar Permotoran Gong Badak
Dalam kemeriahan WiraDay 6.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, dua nama besar dalam dunia automotif tempatan Bateri Astra dan Motor Maniac turut mengambil peluang untuk membuka tirai penyertaan mereka. Kehadiran ini menandakan sokongan berterusan terhadap komuniti peminat Proton Wira di seluruh negara.
Bagi Astra dan Motor Manaic , penyertaan kali ini merupakan penyertaan keempat dalam acara berskala besar, selepas mencipta impak di pelbagai acara automotif terkemuka seperti Retro Havoc, Motor Maniac, dan Northern Festival of Speed. Dari ibu kota Kuala Lumpur ke utara tanah air, kini Bateri Astra terus mengukuhkan kehadirannya di Pantai Timur Malaysia.
(Sumber: MotorManiac)
Lebih menarik, Astra turut membawa pelbagai barangan automotif berkualiti tinggi seperti bateri Astra yang diperakui SIRIM serta pengelap cermin kereta (wiper) dengan promosi eksklusif sepanjang acara. Dalam masa yang sama, Motor Maniac turut mencuri perhatian dengan koleksi pakaian rasmi WiraDay, yang hanya boleh didapati secara eksklusif di lokasi acara ini sahaja.
Kehadiran kedua-dua jenama ini bukan sekadar memeriahkan suasana, malah turut mengukuhkan ekosistem industri automotif tempatan dengan gabungan promosi, gaya hidup dan semangat komuniti yang semakin berkembang pesat dalam kalangan peminat automotif tanah air.

