Proton telah mula mengambil tempahan untuk dua varian baru Proton S70 mereka. Sedan yang akan mereka jual tak lama lagi adalah Proton S70 Lite dan Proton S70 Prime. Harga dua varian baharu ini katanya bawah RM60,000 dan ia bolehkan lebih ramai pengguna menikmati sedan nasional ini.
Beza paling besar pada Proton S70 baharu ini adalah ia dikuasakan enjin 1.5L alami (NA) i-GT bersama-sama sistem transmisi CVT berbanding enjin Turbo dengan kekotak DCT yang boleh ditemui pada Proton S70 sedia ada.

Proton S70 Lite & Prime ada enjin 1.5L NA
Enjin yang menggerakkan Proton S70 Lite dan Prime mempunyai output kuasa yang lebih rendah berbanding varian turbo. Atas kertas, enjin pembakaran alami ini hasilkan sekitar 118hp dan 150Nm tork berbanding varian turbo yang hasilkan kira-kira 178hp dan 290Nm tork. Itulah kompromi besar yang harus dilakukan untuk merealisasikan tanda harga yang lebih rendah.

Sungguhpun begitu, Proton S70 masih mengekalkan dimensi sedan yang luas. Pada harga kurang daripada RM60,000 anda beroleh sebuah pengangkut penumpang 5 tempat duduk yang ada ruang kabin lapang, seakan sebuah segmen C. Bukan itu sahaja, kelengkapan dalaman juga tidak banyak yang diturun taraf. Atas kertas, Proton S70 Prime ada aksesori seakan sebuah Proton S70 Flagship yang harganya hampir RM85,000.

Proton S70 Lite juga ada aksesori lengkap
Walaupun cuma versi Lite, kelengkapan dalam kabin dan sistem keselamatan yang ia ada tidaklah terlalu asas. Ia masih ada 6 beg udara, sistem radar sisi dan belakang, EPB dengan Auto Brake Hold, kamera undur, dan sensor parkir. Sistem inforianya juga sokong Apple CarPlay dan Android Auto beserta 5 port USB berselerak diserata kabin. Semua ini tiada pada varian S70 Executive.

Proton S70 Prime yang ada harga lebih tinggi ada beberapa naik taraf dibawakan berbanding Lite. Contohnya, ia ada roda lebih besar pada 17”, lampu depan LED automatik, cermin sisi bermotor, kerusi kulit sintetik, dan sensor parkir hadapan.
Proton S70 ganti Proton Persona?
Walaupun tak dinyatakan secara rasmi, Proton S70 Lita & Premium ini dilihat sebagai pengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Proton Persona. Menariknya, Proton pernah gunakan strategi hampir serupa sebelum ini. Dalam tahun 2013, Proton umumkan Persona SV (Super Value), varian berasaskan Persona Elegance untuk alternatif lebih mampu milik.

Tapi pada ketika itu, Proton kurangkan aksesori dalaman dengan banyak untuk turunkan harga. Pada Proton S70, pendekatannya adalah berlainan kerana Proton kekalkan segala manfaat aksesori dan keselamatan, sebaliknya tukar enjin untuk mengurangkan harga.

