Perodua telah melancarkan secara rasmi EV pertama mereka setelah beberapa ketika diselubungi teaser. Model yang dinamakan QV-E ini adalah 100% hasilan sendiri dan bukan penjenamaan semula daripada model China
Harga Perodua QV-E
EV hasilan Malaysia sepenuhnya daripada Perodua ini ada tanda harga RM80,000. Walau bagaimanapun, penawaran QV-E adalah unik kerana bateri diletakkan di bawah skim Battery-as-a Service (BaaS). Ia adalah yang pertama seumpamanya dalam pasaran Malaysia dan pembeli perlu “langgan” pada harga RM275/bulan.
(Kredit: Perodua)
Kelebihan Perodua tawarkan skim Battery-as-a-Service (BaaS) adalah menjadikan QV-E satu-satunya EV di Malaysia dengan jaminan bateri sepanjang hayat dengan syarat pengguna kekalkan langganan bateri dengan Perodua. Antara isu yang ingin ditangani Perodua adalah harga pasaran terpakai apabila pengguna skeptik dengan resale value apabila kereta telahpun berusia.
Kekurangannya pula adalah, untuk bakal pemilik Perodua QV-E, komitmen bulanan mereka adalah perjanjian sewa beli dengan bank ditambah dengan RM275 untuk sewaan bateri. Ataupun, masukkan sekali kos sewaan bateri ke dalam pinjaman sewa beli dengan bank. Contohnya, jika tempoh pinjaman adalah 9 tahun, kos untuk bateri adalah RM29,700, lantas jadikan harga QV-E adalah RM109,700. Itu belum termasuk kadar keuntungan yang dikenakan pihak bank dan juga cukai perkhidmatan (SST) sebanyak 8% ke atas perkhidmatan BaaS tadi.
Selain jaminan bateri, jaminan lain yang pengguna boleh ambil maklum adalah seperti:
- Jaminan kenderaan 6 tahun atau 150,000km
- Jaminan unit pemacu 8 tahun atau 150,000km
(Kredit: Perodua)
Buat masa ini, Perodua belum gariskan bilakan penghantaran pertama QV-E akan dilaksanakan. Tentang kapasiti pengeluaran, mereka komited untuk hasilkan sekurang-kurangnya 500 unit sebulan dan kapasiti akan dinaikkan kepada 3,000 unit sebulan menjelang suku ketiga 2026.
Spesifikasi Perodua QV-E
Saiz & Dimensi

Perodua QV-E ada ukuran panjang dan lebar masing-masing 4,170mm dan 1,800mm. Dengan jarak gandar 2,680mm, SUV elektrik ini lebih besar berbanding Myvi dan hampir sama saiz dengan Proton e.Mas 5 dan BYD Dolphin. Platform kenderaan yang digunakan Perodua adalah hasil usaha sama mereka dengan Magna Steyr. Dimaklumkan yang platform yang sama boleh disuaikan untuk hybrid, dan REEV yang turut membawa maksud, ruang kaki untuk penumpang belakang akan jadi sempit untuk muatkan bateri.
Motor elektrik & Prestasi
(Kredit: Perodua)
QV-E dipacu motor elektrik yang disangkut di gandar depan. Motor itu keluarkan sebanyak 150kW (201hp) dan 285Nm tork. Untuk rujukan, ia angka hampir sama dengan motor elektrik yang kuasakan BYD Atto 3 tapi masih tak mampu saingi motor Proton e.Mas 7 (160kW/320Nm). Dengan output sebegitu, cukai jalan Perodua QV-E berada pada paras RM160/tahun.
Bateri & Jarak gerak
Hanya ada satu varian Perodua QV-E ditawarkan. Baterinya gunakan komposisi kimia lithium ion phosphate (LFP) daripada CATL dengan berkapasiti 52.5kWh. Berbekalkan bateri itu, ia boleh gerak sejauh 445km (NEDC) yang bermakna jarak realistik adalah sekitar 350km ke 380km.
Bila perlu diisi, bateri itu terima arus DC pada paras 60kW yang katanya perlukan 30 minit untuk isi daripada 30% kepada 80%. Untuk pengecasan AC di rumah, ia boleh terima sehingga 6.6kW yang perlukan kira-kira 8 jam untuk diisi penuh.
Kabin & Keselesaan

Di bahagian dalam kabin Perodua QV-E, ada macam-macam ciri menarik boleh ditemukan. Ia ada sistem inforia dengan skrin peka sentuh sebesar 10.25” yang sokong Android Auto dan Apple CarPlay secara tanpa wayar. Untuk kemudahan, pengecas telefon secara tanpa kabel juga disediakan. Antara perkara menarik tentang EV Perodua ini adalah ia Perodua pertama yang ada kerusi berkuasa elektrik dan juga pertama yang ada lampu ambient.
Ciri keselamatan
(Kredit: Perodua)
Perodua lengkapkan QV-E dengan sistem Perodua Smart Drive Assist yang komprehensif. Untuk ciri bantu pandu aktif, ia ada semua yang ada pada EV moden seperti Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, Highway Assist, Lane Keep Assist dan banyak lagi. Mereka juga perkenalkan satu ciri unik yang pertama kali diperkenalkan untuk perodua iaitu Child Presence Detection System yang kesan kehadiran kanak-kanak ataupun binatang peliharaan di kerusi belakang guna gelombang radio untuk berikan amaran kepada pemilik kereta dalam bentuk bunyi hon ataupun SMS kepada aplikasi telefon pintar P-Circle.
Bateriku untuk Perodua QV-E

Bateri 12V untuk Perodua QV-E boleh diakses dengan mudah dengan membuka ruangan bonetnya. Daripada pemeriksaan kami, ia mengguna pakai bateri jenis Enhanced Flooded Battery (EFB) berkapasiti 40Ah dengan CCA 380A. Jadi, Bateriku mencadangkan bateri berikut untuk disuaikan dengan Perodua QV-E.

Fatin Bateriku, pembantu maya dengan kuasa AI
Beli bateri kini jadi lebih mudah dengan bantuan Fatin Bateriku. Fatin ialah pembantu maya berkuasa AI yang bantu anda dapatkan bateri automotif yang sepadan dengan kereta anda termasuklah lain-lain servis bantuan tepi jalan sewaktu kecemasan.
Fatin gunakan natural language processing (NLP) untuk bertutur dalam gaya semula jadi dan kasual. Anda boleh bercakap dengan Fathin seperti anda bercakap dengan orang biasa.
Hubungi Fatin di +60391088888 untuk akses pantas servis Bateriku.

