Rancang nak bercuti atau berbelanja di Thailand dengan memandu kenderaan sendiri? Melalui kaedah ini, anda dapat mengembara, singgah atau tinggal di mana-mana pada bila-bila masa sahaja. Sama ada anda nak ke Hatyai, Songkhla atau kawasan sempadan yang lain di Thailand, panduan ini akan membantu anda bersiap sedia sebelum menyeberangi sempadan.
Jika anda pernah berkunjung ke Thailand melalui perkhidmatan kapal terbang atau tren, memandu kenderaan sendiri pastinya memberikan lebih banyak manfaat. Lebih-lebih lagi bagi golongan yang sudah berkeluarga, memandu kenderaan sendiri ke tempat percutian adalah satu tindakan yang lebih memuaskan berbanding menggunakan kenderaan awam seperti kapal terbang atau kereta api.
Panduan Memandu dari Malaysia ke Thailand
Kemudahan mendapatkan makanan halal merupakan antara sebab kenapa ramai ingin berkunjung ke Thailand. Malahan ramai di antara kita yang merancang untuk menganjurkan konvoi memandu dari Malaysia hingga ke Thailand. Oleh itu, berikut dikongsikan panduan lengkap cara bawa kereta atau motosikal ke Thailand.
Pintu Masuk Sempadan Malaysia - Thailand
Sebelum itu, terdapat lapan pintu masuk darat dari Malaysia ke Thailand yang anda boleh lalui dengan kenderaan. Semak dan pastikan pintu masuk sempadan yang dilalui berada dekat dengan destinasi yang ditujui:
- Wang Kelian, Perlis – Wang Prachan
- Padang Besar, Perlis – Padang Besa
- Bukit Kayu Hitam, Kedah – Sadao
- Kota Putra, Kedah – Ban Prakob
- Rantau Panjang, Kelantan – Sungai Kolok
- Pengkalan Kubor, Kelantan – Tak Bai
- Bukit Bunga, Kelantan – Buketa
- Pengkalan Hulu, Perak – Betong
Kebanyakan pintu masuk ini dibuka dari 6:00 pagi hingga 10:00 malam. Pastikan anda merancang perjalanan secara teliti lebih-lebih lagi pada musim perayaan atau cuti sekolah kerana jumlah trafik akan meningkat berkali ganda.
Dokumen Wajib untuk Memandu ke Thailand
Pastikan anda menyediakan dokumen-dokumen berikut sebelum membawa kereta ke sempadan Thailand:
- Pasport (sah sekurang-kurangnya 6 bulan)
- Sijil Pemilikan Kenderaan (Geran/ VOC)
- Insurans kenderaan Thailand (boleh dibeli di sempadan atau dalam talian)
- Lesen memandu Malaysia (disyorkan terjemahan Bahasa Inggeris atau IDP)
- Borang TM2 & TM3 (didapati dan diisi di imigresen Thailand)
Prosedur Imigresen & Kastam
Di bawah adalah prosedur untuk masuk ke negara Thailand secara memandu sendiri. Proses ini adalah berdasarkan proses sekiranya anda memandu kereta melalui Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam untuk ke sempadan Thailand sebagai rujukan.
1. Imigresen Malaysia
- Ikut lorong khas untuk kereta atau motosikal.
- Serahkan pasport untuk dicop oleh pegawai imigresen.
2. Imigresen Thailand
- Turunkan penumpang berhampiran kompleks imigresen.
- Penumpang masuk ke dalam kompleks untuk cop pasport.
- Pemandu terus ke kaunter pandu lalu dan serahkan pasport, borang TM2 & TM3 untuk dicop.
- Untuk motosikal, parkir berhampiran kompleks dan serahkan dokumen secara manual di dalam kompleks.
- Pegawai imigresen Thailand akan simpan salinan TM2/TM3 dan pulangkan satu salinan yang dicop kepada anda.
- Salinan ini perlu diserahkan semula apabila keluar dari Thailand.
3. Deklarasi Kastam Thailand
- Pergi ke Kaunter Pengisytiharan Kastam.
- Serahkan:
- Pasport
- Geran kenderaan (VOC)
- Pegawai kastam akan keluarkan permit import/eksport sementara untuk kenderaan anda.
(Sumber: riderchris)
Peraturan Memandu di Thailand
Thailand juga memandu di sebelah kiri seperti Malaysia, tetapi sila ambil perhatian peraturan jalan raya ini:
- Dilarang parkir di tepi jalan dengan garisan merah-putih.
- Jangan parkir melawan arus jalan.
- Beberapa kawasan mempunyai sistem parkir berdasarkan tarikh ganjil atau genap.
- Patuhi had laju yang ditetapkan seperti: 60-90 km/j di kawasan bandar dan 100-120 km/j di lebuh raya.
Soalan Lazim (FAQ)
S: Boleh guna cukai jalan Malaysia di Thailand? J: Boleh, tapi anda mesti membeli dan mempunyai insurans Thailand.
S: Di mana boleh beli insurans kereta Thailand? J: Boleh beli di mana-mana sempadan seperti di Changloon dan Rantau Panjang atau secara atas talian.
S: Berapa lama boleh pandu kereta Malaysia di Thailand? J: Permit sementara biasanya sah sehingga 30 hari. Jika nak tinggal lebih lama, perlu buat permohonan semula.
S: Apa jadi kalau hilang borang TM2/TM3? J: Anda mungkin dikenakan denda atau lewat keluar dari Thailand. Simpan borang ini di dalam kenderaan.
Sepertimana kita pergi melancong ke mana-mana, persediaan dalam menghadapi apa-apa kejadian yang tidak diingini perlu diutamakan. Oleh itu, berikut adalah tips tambahan sebagai peringatan untuk semua pelancong:
- Sediakan salinan pasport dan geran kereta.
- Simpan semua dokumen dalam fail plastik lutsinar.
- Muat turun peta luar talian (offline maps) sebagai persediaan jika tiada isyarat.
(Sumber: Canva)
Sebelum Memandu Merentas Sempadan Thailand
Pastikan keadaan kereta anda dalam keadaan terbaik sebelum merentas sempadan. Singgah ke Pitstop Bateriku di Changloon atau Rantau Panjang sebelum masuk ke sempadan Thailand untuk mendapatkan:
- Pemeriksaan bateri percuma & diagnosis segera
- Perkhidmatan terus ke lokasi anda dalam beberapa minit
- Bateri berkualiti tinggi dengan jaminan seluruh negara
- Juga tersedia di aplikasi Setel, Touch ‘n Go & Flexi Parking
Sama ada kali pertama atau kesepuluh anda ke Thailand, pastikan kenderaan anda sentiasa bersedia untuk perjalanan jauh dengan Bateriku